Tuesday, 27 October 2015

Tugasan 7 : Naratif Latar Masyarakat : Doa






Teks : Ana Sarina Abu Bakar
Gambar : Ihsan google



Bukit Arafah memutih tanpa mengira warna kulit dan pangkat. Seluruh umat islam dari pelusuk dunia berhimpun Bukit Arafah. Malaysia salah satu negara yang tidak terkecuali menantikan waktu wukuf. Dalam penantian yang penuh sabar, masing-masing punya tugasan sendiri, ada yang membaca alquran, berzikir, memuji kebesaran Allah, doa dan terus berdoa, bertalbiah, mendengarkan khutbah Arafah kerana semua di antara mereka tidak mahu membazirkan masa. Meskipun berlainan bangsa, bahasa dan warna kulit, pangkat dan latar belakang kehidupan di sini bersama-sama berkumpul di padang Arafah yang tersangat luas. Seolah-olah, sepertinya menggambarkan himpunan manusia di padang Mahsyar kelak. Subhana-Allah.




Tugasan 7 : Naratif Latar Tempat : Himpun





Teks : Ana Sarina Abu Bakar
Gambar : Ihsan Google


Ramai menuju Bukit Arafah. Sesak padat di huni jiwa-jiwa yang merintih mahukan keampunan. Di Bukit Arafah tempat mereka di himpun membawa berjuta harapan. Di tengah-tengah Arafah terdapat Jabal Rahmah di mana tempat pertemuan semula Nabi Adam AS dan Siti Hawa yang terpisah selama 40 tahun. Di Jabal Rahmah jugalah Rasulullah SAW menyampaikan Khutbah Al wada' iaitu amanat terakhirnya kepada umat Islam. Di Jabal Rahmah, dijadikan tempat memohon agar dipercepatkan jodoh mereka namun sebagai umat islam yang percaya kepada rukun iman pastinya percaya Allah adalah satu-satunya tempat untuk kita bermohon dan pohonlah kepada-Nya, setelah berusaha, ikhtiar, berdoa lantas bertawakal hanya kepada Allah. Malah dikatakan lebih afdal jika doa-doa seperti itu disampaikan sewaktu berada dihadapan Kaabah dan di tempat-tempat yang mustajab contohnya di antara pintu Kaabah dan makam Nabi Ibrahim AS.





Tugasan 7 : Naratif latar masa : Haji






Teks : Ana Sarina Abu Bakar

Gambar : Ihsan Google


Perjalanan kian sampai ke kemuncaknya. Hati mula menyusun bicara jiwa, tatkala berpijak di tanah Arafah untuk wukuf. Wukuf merupakan satu daripada rukun haji. Tika ini hanya kekuatan yang terkumpul untuk wukuf. Doa dan terus berdoa agar mampu menghadapi segala dugaan dan halangan di padang Arafah. Pada masa yang di beri para jemaah bagaikan tenggelam dalam keampunan sendiri, mencari ruang dan waktu agar dapat menzahirkan bicara jiwa yang penuh merintih pengharapan.














Friday, 23 October 2015

Dayana



Dia Dayana, anak permata hati mama dan ayah. Dayana Batrisyia nama yang diberikan bukan sekadar nama. Disebalik kepandaian digabungkan dengan kekuatan maka lahirlah jiwanya yang kental dan akal yang panjang. Kelahirannya di nanti, umpama pepohonan yang menanti hadirnya mentari pagi. Dialah kekuatanku, dia juga jantung hatiku. Penantian hampir 2 tahun itu membuatkan aku tidak sabar melahirkannya agar dia dapat menemani sama ada tika senyum mahupun tika sedihku. Sungguh tika itu aku tak sabar.



Dia dibesarkan dalam ketegasan namun dalam ketegasan itu terselit juga kasih dan sayang kerana dia anak yang sulung, aku mahu dia kuat dan tidak mudah mengalah. Aku bukan mahu menjadikan dia sempurna di mata manusia, tetapi cukup untuk dia mengenali siapa dirinya tatkala dia berhadapan dengan sebarang dugaan. Aku tahu aku tegas, tetapi niatku hanya Allah yang tahu. Aku hanya mahu menyelami jiwa dan mendalami perasaannya kerana dia adalah anugerah dan dia jugalah amanah Allah untuk aku bawa Dayana bersama-sama mengenali Maha pencipta.


Kini Dayana berusia 13 tahun. 31 Oktober adalah tarikh dia dilahirkan. Tika azan Maghrib berkumbang Dayana berusaha untuk melihat dunia. Jam 7.44 petang Dayana selamat dilahirkan. Cepat masa itu berlalu, kini Dayana sudah remaja. Bicaranya penuh berhati-hati, adakala buatkan aku menyimpan sendu di hati apabila mengenangkan sikapnya yang terlalu menjaga hati. Sikap tegas mama, langsung tidak mempengaruhi kehidupannya. Aduhai anak ketahui olehmu, anak yang baik itu adalah anak yang menjaga solat dan menjaga tutur kata tika bercakap dengan orang tuanya. Semoga dia kekal menjaga sikap baiknya terhadap orang tua. Dayana kata, dia takut meninggikan suara kerana bimbang dia akan berdosa terhadap orang tuanya. Dia takut meninggalkan solat, kerana dia tidak mahu, Allah tidak mempedulikannya.


Tatkala Dayana di uji kesakitan. Dia redha dan yakin bahawa Allah tahu sejauh mana kekuatannya. Tatkala Dia di uji dalam persahabatan. Dia tetap redha dan yakin bahawa bukan dia sahaja yang sedang di uji tetapi sahabatnya juga turut di uji keikhlasan dalam diri kerana ujian itu untuk memperlihatkan sejauh mana iman seseorang hamba-Nya. Kata Dayana, Allah tidak akan menghadirkan sesuatu tanpa kisah di sebaliknya. Semuanya dugaan itu punya hikmah dan hikmah itu adalah rahsia Allah yang perlu di cari dan fahami. Hanya dalam doa tempat dia mengadu kerana dia tahu Allah maha mendengar dan sentiasa ada.


Dayana ( Gambar : Hakmilik sendiri)

Wednesday, 21 October 2015

Tugasan 6: No 5 ( sudut pandangan orang ketiga)













Teks : Ana Sarina Abu Bakar
video : youtube
Gambar : Google


Izani sedang duduk termenung, Jauh renungannya, dia sepertinya mengenang sesuatu. Mengenang kisah yang sudah lama ditinggalkan. Kenangan yang bagaikan terpanggil kembali. Kisah yang meninggalkan kekesalan yang amat mendalam. Benar, masa tidak boleh dikembalikan. Dia seperti benar mahu pulang pangkal jalan. Dia ingin kembali semula pada zaman lalunya. Zaman di mana dia dan abah pernah bersama.


Zaman remaja Izani penuh keegoan. Dia ego untuk mengenal asal kehidupannya. Dia menolak harga sebuah pengorbanan dan kasih seorang bapa buat anaknya. Dia terlupa ada seorang lelaki, berstatuskan suami yang kehilangan isteri telah mengambil alih tugas sebagai seorang ibu. Dia terlupa siapa yang menjaga tika sakit peningnya, menyedia makan minumnya dan menyempurnakan kelengkapan sekolah buat dirinya. Dia tidak tahu, betapa bapanya sanggup mengenepikan keinginan sendiri semata-mata mahu memenuhi tanggujawap sebagai bapa. tanggungjawap yang mesti di pikul tanpa ada perasaan mengharapkan balasan. Bagi bapanya, tiada yang lebih mengembirakan hati melainkan dengan melihat anaknya gembira dengan setiap pemberian. Seorang bapa yang sanggup berhempas pulas dibasahi keringat semata-mata ingin memenuhi kehendak anaknya.


Bila bapanya semakin tua, rasa kesunyian mula mendatang namun Izani pula semakin menjauh. Inilah yang dinamakan zaman teknologi. Kasih sayang bagaikan ada jurang pemisah, Ruang berbual antara dia dan bapanya juga terbatas. Bapanya rindu berbicara dengan anak tunggalnya namun dia langsung tidak memperdulikan bapanya kerana dia sibuk melayan kawan -kawan di telefon sehingga perasaan bapanya sendiri diabaikan.


Hari berganti hari, namun bapanya tetap sendiri dan Izani masih dengan tabiat lamanya. Sebumbung tetapi tidak sejiwa, sepatah di tanya, sepatah yang dia jawap. Bila dia di ajak memancing, telefon juga yang dia hadapnya. Tiada apa yang dapat di ubah andai dia tak mahu berubah. Sehinggalah bapanya meluahkan perasaan apa yang telah rasai pada laman sosial agar anaknya membaca, Namun semua itu sudah terlambat kerana bapanya sudah tiada lagi. dan kini dia benar-benar menyesal.





Thursday, 15 October 2015

Aku dan lensa.









Teks : Ana Sarina Abu Bakar


Aku suka mengambil gambar. Memegang kamera suatu kepuasan dalam diri. Sehari tanpa kamera rasa hati tidak keruan. Bermula dengan suka-suka, aku terjebak dengan minat yang mendalam. Dunia fotografi bagaikan nadi seni dalam sebuah karya yang dihasilkan. Aku mengabungkan seni penulisan dan seni fotogafi agar menjadi satu karya yang berjiwa. Nampak mudah namun tidak semudah sebagaimana ianya dihasilkan. Menzahirkan rasa cinta melalui kamera akan dapat menghasilkan sebuah gambar yang menenangkan rasa dan ditambahkan pula dengan kata-kata pujangga ia akan lebih memikat pandangan mata.


Kualiti sebuah gambar bukan terletak berapa mahalnya harga sesebuah kamera namun ianya terletak siapa yang berada di belakang kamera. Sesiapa sahaja mampu memilik kamera daripada harga yang rendah sehingga harga puluhan ribuan Ringgit Malaysia namun bukan semua mempunyai teknik yang sama dalam menghasilkan sesuatu gambar.


Aku bersahaja dalam menghsilkan karya yang sederhana. Asal hati aku punya rasa dan nikmatnya itu sudah cukup buat aku berirama dalam seni sendiri. Bagi aku tiada yang lebih indah hanya menzahirkan rasa cinta melalui karya yang di adun dengan penuh jiwa. Itulah dunia aku dan lensa.




Gambar : Hakmilik sendiri


Saturday, 10 October 2015

Tugasan 6 : No. 4 (sudut pandangan orang kedua - anak lelaki)










Teks : Ana Sarina Abu Bakar

Gambar : Google

Video : Youtube


Kau kelihatan seolah-olah mencari sesuatu. Renungan itu mengambarkan kau sedang mengenang suatu kenangan yang hilang. Kau mengenang lelaki yang bernama abah. Abah yang mencipta kenangan itu. kenangan tika kecil kau yang dimanjakan. Diberikan kasih sayang yang tiada sempadan. Abah yang banyak berkorban masa dan tenaga, semata-mata untuk melihat kau bahagia.


Namun apa yang telah kau buat. Kau sibuk dengan kawan-kawan. Kau bagaikan tak dapat berpisah dengan telefon dan internet. Kau lebih senang berbual dengan kawan-kawan di telefon hingga kau lupa ada orang yang menanti untuk berbual dengan kau. Apa guna jasad di rumah andai jiwamu jauh melayang di luar bersama kawan-kawan. Bila berbual dengan abah, sepatah yang dia tanya. sepatah jugalah yang kau jawap.


Kau buta pada hati kerana mata sudah tak punya jiwanya lagi. Ketika abah cuba mencari masa memulihkan ikatan yang renggang antara kau dan dia. Di mana letaknya perasaan kau ketika itu. Abah gembira mendapat hasil pancingnya sedangkan kau sibuk dengan telefon yang tidak bernyawa itu, padahal abah yang bernyawa itu tidak kau endah. Dimana silapnya didikkan abah. di mana betulnya kau sebagai anak.


Kini tak guna kau mencari lagi. Abah sudah pergi menghadapi Ilahi. Perginya itu tidak akan kembali. dan sesal kemudian sudah tidak berguna lagi.