Wednesday 30 September 2015

Catatan pengalaman



Pengalaman indah yang sedikit penceritaannya namun berbekas di jiwa sampai ke hujung nyawa. Saya punya cita-cita yang sangat tinggi namun tidak setinggi dengan pendidikkan saya, aaah.. lupakan pengalaman yang mengecewakan, bangkit dengan kenyataan yang membahagiakan. Pertama kali saya berjinak ke dalam dunia fotografi apabila minat saya terhadap gambar-gambar di dalam majalah telah memukau keinginan saya untuk menghasilkan karya yang terbaik. Sensungguhnya, Allah itu Maha mengetahui. Diam saya memanjatkan harapan agar suatu hari nanti akan saya milik kamera DSLR (digital refleks kanta tunggal atau digital single-lens reflex camera) akhirnya termakbul. Entah apa yang memujuk hati encik suami hingga berlembut hati membelikan kamera buat isterinya dan itulah permulaan bagi pengalaman yang terindah buat saya. Setiap saat tidak akan saya bazirkan tanpa ilmu dunia kamera,

Jadi, Bolehlah di sini saya berkongsi karya saya. Semoga dapat menarik minat jiwa-jiwa yang membaca. Hakikatnya, mencipta seni bukan hanya melalui penulisan sebaliknya mengembangkan dengan pelbagai cara dan kreativiti. Tiba-tiba teringat saya suatu kisah pada awal pembabitan saya di dalam dunia fotografi. Di sebalik keasyikkan bergambar saya pernah dimarahi oleh seorang lelaki tua yang mana tidak mahu gambarnya di rakam, ketika itu saya cuba merakam secara curi-curi untuk mengisi ilmu dalam genre fotografi jalanan. Mujur saya ada sedikit kebijaksaan menyimpan jauh gambar lelaki itu di antara ratusan gambar yang tersimpan di dalam kamera, yelah... dalam keadaan marah kononnya, sipulan tak mahu melihat gambarnya yang sudah di rakam, sebaliknya terus meninggikan suara mencari salah saya, dan bila di amati kami yakin lelaki tua itu hanya sekadar mahu mencari sebab agar kami membayar kepadanya supaya dia berhenti dari terus membuat kecoh. nah... taktiknya di kesan akhirnya pergi dengan tangan kosong. Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan karya yang bermutu, pasti ada cabaran yang bakal menunggu. namun andai sudah minat, lautan dalam sanggup di renang juga. Inilah sebahagian daripada travelog pengalaman saya dalam dunia kamera. semoga banyak lagi pengalaman yang bakal di kongsi nanti... Insya- Allah.





Catatan harian


Apa yang hendak di tulis pada catatan harian ini adalah sebuah perjalanan hidup yang sudah ditetapkan buat saya yang bernama isteri, ibu dan seorang insan biasa. Saya sebenarnya seorang pengasuh, anak-anak yang ditumpangkan kasih sayang sebagai amanah untuk saya jaga. Rutin harian saya sangat padat, memandangkan tumpuan saya lebih kepada jiwa anak-anak dan keperluan keluarga. Aktiviti di siang hari umpama irama dan lagu sering seiring dan tak dapat dipisahkan. Jerit pekik anak-anak beralun indah dan memberi tenang di jiwa. Diam saya banyak menghabiskan masa dihadapan komputer riba di malam hari namun segalanya dapat dilakukan setelah selesai tugasan rumah. Inilah cara saya untuk melepaskan penat seharian. Bila segalanya tenang, jiwa saya mula bermadah dan di Facebook tempat saya mendidik hati berbahasa, mengarang bahasa jiwa tanpa peduli komen yang bakal akan saya terima. Kentalkan hati bila berbicara bunga-bunga, namun itulah kepuasan yang di rasa. Saya juga gemar mengambil gambar kerana saya gemar merakam keindahan alam yang tidak terhitung nikmat daripada anugerah-Nya. Menekan butang kamera umpama memejamkan mata sambil menghalusi kewujudan segala ciptaan-Nya. Di mana setiap yang di rakam menjadi kepuasan tatkala ada yang tersenyum apabila memandang karya-karya saya. Aduhai, itulah tujuan bila saya memegang kamera, mengamati keindahan yang Allah sediakan, di rakam dan dikongsikan kepada sahabat-sahabat yang setia menanti karya-karya daripada hasil 'tembakkan' saya.

Inilah hasil dari karya saya yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga catatan harian ini adalah permulaan buat saya menzahirkan segala sentuhan jiwa, akan ada sambungan di lain ruang dan masa... Insya-Allah.

Monday 21 September 2015

Kenali saya


Nama saya Ana Sarina Binti Abu Bakar, lahir pada 4 Julai 1978 di atas katil yang beralamatkan rumah Kampung Parit Unas, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, Johor. Sewaktu itu hanya bidan kampung yang menyambut kelahiran saya. kesian kan... tak mengapa, janji selamat lahir di dunia, semoga selamat juga perjalanan saya di akhirat kelak, InsyaAllah. Apabila saya berusia 7 tahun, arwah abah yang ketika itu dinaikkan pangkat kepada seorang Pegawai Tentera di minta berpindah ke lain daerah, maka terpaksalah kami menukar angin dan berjauhan dari kampung kelahiran dan meneruskan kehidupan di suasana yang baru, sedari itu saya membesar di Batu Pahat Johor sehingga ke usia saya 21 tahun. Alhamdulilah.

Taraf Pendidikkan saya hanya setakat SPM ( 1995) sahaja, malu rasanya nak cerita lebih tetapi itulah hakikatnya andai kebenaran yang di cari, pahit untuk menzahir namun janji Allah itu manis andai kita faham aturanNya. Bukan tiada peluang untuk menyambung pelajaran namun saya menganggap mungkin bukan rezeki saya untuk ke arah itu. Insya-Allah, saya cuba untuk membuktikan saya juga boleh berjaya walaupun tanpa ijazah di tangan, namun demikian bukan halangan bagi saya untuk mencari ilmu bagi mempertingkatkan kefahaman saya dalam bidang yang ingin saya ceburi. berdasarkan hanya berkelulusan SPM, apalah yang layak buat saya yang hanya mampu menyandang peranan sebagai QA operator pengeluaran di sebuah kilang eletronik selama 2 tahun dan disitulah bermulanya saya berdiri di kaki sendiri. Bersengkang mata siang dan malam yang hanya mahu membantu meringankan beban orang tua meskipun sekadar sahaja pendapatan yang saya perolehi. Bersyukurlah daripada tiada apa. Setelah 2 tahun menjadi 'minah robot', saya ditawarkan sebagai kerani jualan di Pemaju Perumahan, agak bergaya tika itu laksana primadona, maklumlah semenjak bekerja sebagai kerani, saya sudah tidak lagi saya mengenakan uniform sebagai pakaian rasmi pekerja kilang. Biarpun kali ini masa bekerja hanyalah 8 jam namun berlainan pula cabarannya dan itu semua adalah pengalaman untuk mengajar saya berhadapan dengan karenah manusia yang berbagai sikap dan gayanya. Secara tak langsung mendidik hati untuk lebih menghargai masa serta amanah tika menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Mahalnya...sebuah pengalaman,


Hampir 3 tahun saya menyumbang keuntungan kepada syarikat dan akhirnya saya di lamar oleh pemuda bernama Mohamad Azizan Bin Kamarudin dan saya mengikatkan tali pertunangan selama 1 tahun. Syukur ke hadrat Ilahi jodoh kami terikat rapi dengan izin-Nya dan kami disatukan sebagai suami isteri pada tahun 2000. selepas berkahwin, PJJ ( Perkahwinan jarak jauh ) amat meyukarkan bagi kami, lalu dengan berat hati saya terpaksa melepaskan kerjaya saya dan mengikut suami ke Ipoh, Perak dan bermulalah episod baru hidup saya sebagai seorang isteri. Daripada detik itu, saya adalah diri saya pada hari ini. Seorang surirumah sepenuh masa di atas permintaan suami. Rela atau tidak, terpaksa atau ketentuan itulah jalan yang perlu saya terima.


Dalam kehidupan pasti ada ketika kita ingin mencuba sesuatu dan saya adalah salah seorang daripadanya, Pernah seketika dahulu, saya berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual lauk pauk dari rumah kepada pelanggan di bulan ramadhan dan ianya menjadikan satu pegalaman paling berharga bagi diri saya. Entah kenapa saya mahu terus mencuba mendalami dunia bisnes. semoga diizinkan oleh-Nya dan semoga juga dipermudahkan atas segalanya, InsyaAllah. Usaha tanpa kesungguhan pasti tak menjadi. semoga diberikan ruang-ruang buat saya untuk memenuhi usaha agar diberkati segala kemampuan dan kesungguhan.


Bercerita tentang minat, sedari kecil saya amat gemar kepada lukisan, melukis keindahan alam membuatkan jiwa saya tenang, Subhana-Allah. Begitulah cara saya meluahkan perasaan, melakar daripada fahaman jiwa menjadikan saya dekat pada alam dan pencipta. Bicara alam amat jujur menzahirkan maksud tersirat dan begitulah cara saya melahirkan nukilan jiwa, Apabila sudah dewasa, minat yang di pupuk sedari kecil itu semakin gairah terhadap keindahan alam, lalu saya merakam setiap keindahan yang menyentuh hati bukan dengan melukis tetapi melalui kemahiran mengambil gambar dengan mengunakan kamera DSLR dan itu adalah bonus buat diri saya. Namun itulah kemanisan yang dijanjikan oleh-Nya, Setiap gambar yang berjiwa seolah-oleh berbicara. Ianya menjadikan saya semakin teruja dengan setiap hasil yang dirakamkan dan sentiasa ingin belajar untuk memdalami kemahiran mengambil gambar serta editing. segalanya adalah untuk menjadikan segala apa yang dihasilkan itu akan lebih berseni, itulah dunia fotografi.


Selain daripada mengambil gambar, amat rugi jika saya tidak suka membaca, masa terluang saya adalah bersama buku-buku motivsi dari ustaz Pahrol Mohd Juoi, novel-novel cinta dari penulis baru dan lama, Saya amat gemar membaca karya Usman Awang, A. Samad Said kerana karya beliau amat halus dengan bahasa yang tersirat. Bahasa alam yang jujur menzahirkan makna. Saya juga suka membaca tentang pejuang-pejuang di zaman Rasulullah, kisah-kisah isteri-isteri yang solehah di zaman Rasulullah juga menjadikan sumber kekuatan rohani buat saya bagi mempejuangkan kebaikkan tika hayat di kandung badan.


Opp...panjang lebar saya bercerita kisah saya hingga terlupa untuk memperkenalkan blog pertama saya, sekadar suka-suka hingga menimbulkan minat terhadap penulisan. Siapa tahu...saya mampu menjadi terkenal nanti, berangan dulu. Beginilah bila imaginasi terlebih... maafkan saya.






Di akhir bicara...pasti tersimpan suatu matlamat dalam diri, yeah...pastinya saya mahu menjadi seorang yang terkenal sebelum saya menjangkau ke usia 40 tahun, terkenal pada nama ANA SARINA ABU BAKAR yang tertera pada setiap karya-karya saya dan saya mahu anak-anak saya menjadikan saya mentor buat mereka, Mentor pada kesungguhan dan keazaman seorang wanita yang kosong namun punya impian. Smoga Allah merestui impian saya dan memberkati niat dan kemampuan saya. kerana saya yakin segala yang baik itu pastinya anugerah dari-Nya. Semoga dipermudahkan segala oleh-Nya... InsyaAllah. :)