Friday 23 October 2015

Dayana



Dia Dayana, anak permata hati mama dan ayah. Dayana Batrisyia nama yang diberikan bukan sekadar nama. Disebalik kepandaian digabungkan dengan kekuatan maka lahirlah jiwanya yang kental dan akal yang panjang. Kelahirannya di nanti, umpama pepohonan yang menanti hadirnya mentari pagi. Dialah kekuatanku, dia juga jantung hatiku. Penantian hampir 2 tahun itu membuatkan aku tidak sabar melahirkannya agar dia dapat menemani sama ada tika senyum mahupun tika sedihku. Sungguh tika itu aku tak sabar.



Dia dibesarkan dalam ketegasan namun dalam ketegasan itu terselit juga kasih dan sayang kerana dia anak yang sulung, aku mahu dia kuat dan tidak mudah mengalah. Aku bukan mahu menjadikan dia sempurna di mata manusia, tetapi cukup untuk dia mengenali siapa dirinya tatkala dia berhadapan dengan sebarang dugaan. Aku tahu aku tegas, tetapi niatku hanya Allah yang tahu. Aku hanya mahu menyelami jiwa dan mendalami perasaannya kerana dia adalah anugerah dan dia jugalah amanah Allah untuk aku bawa Dayana bersama-sama mengenali Maha pencipta.


Kini Dayana berusia 13 tahun. 31 Oktober adalah tarikh dia dilahirkan. Tika azan Maghrib berkumbang Dayana berusaha untuk melihat dunia. Jam 7.44 petang Dayana selamat dilahirkan. Cepat masa itu berlalu, kini Dayana sudah remaja. Bicaranya penuh berhati-hati, adakala buatkan aku menyimpan sendu di hati apabila mengenangkan sikapnya yang terlalu menjaga hati. Sikap tegas mama, langsung tidak mempengaruhi kehidupannya. Aduhai anak ketahui olehmu, anak yang baik itu adalah anak yang menjaga solat dan menjaga tutur kata tika bercakap dengan orang tuanya. Semoga dia kekal menjaga sikap baiknya terhadap orang tua. Dayana kata, dia takut meninggikan suara kerana bimbang dia akan berdosa terhadap orang tuanya. Dia takut meninggalkan solat, kerana dia tidak mahu, Allah tidak mempedulikannya.


Tatkala Dayana di uji kesakitan. Dia redha dan yakin bahawa Allah tahu sejauh mana kekuatannya. Tatkala Dia di uji dalam persahabatan. Dia tetap redha dan yakin bahawa bukan dia sahaja yang sedang di uji tetapi sahabatnya juga turut di uji keikhlasan dalam diri kerana ujian itu untuk memperlihatkan sejauh mana iman seseorang hamba-Nya. Kata Dayana, Allah tidak akan menghadirkan sesuatu tanpa kisah di sebaliknya. Semuanya dugaan itu punya hikmah dan hikmah itu adalah rahsia Allah yang perlu di cari dan fahami. Hanya dalam doa tempat dia mengadu kerana dia tahu Allah maha mendengar dan sentiasa ada.


Dayana ( Gambar : Hakmilik sendiri)

1 comment: